MELAKA – Bapa kepada salah seorang pemain skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun yang terlibat insiden ditampar jurulatih meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menggantung lesen kejurulatihan Saiful Hadee Amar, 44.
Abd. Halim Bakar, 50, berkata, dia akur dengan keputusan tersebut, namun masih mengharapkan peluang kedua dapat diberikan kepada Saiful Hadee atau lebih dikenali sebagai Cikgu Hadee.
Katanya, tindakan yang dikenakan itu dilihat akan membunuh kerjaya Saiful Hadee sebagai jurulatih bola tampar setelah individu tersebut berkorban masa, wang ringgit serta memberi komitmen paling tinggi ketika melatih pemain negeri.
“Saya pun tidak berani hendak ulas perkara ini, cuma saya rasa hukuman yang dikenakan dibuat tanpa mengambil kira pencapaian dan sumbangan beliau sebelum ini.
“Paling tidak pun berilah amaran kali pertama, saya faham tindakan yang dilakukannya itu salah daripada segi undang-undang, namun tidak adakah ruang untuk dia diberikan pertimbangan yang sewajarnya?,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Halim memberitahu, Nur’ Saidatul Akma turut kecewa kerana insan yang melatihnya bermain bola tampar tidak lagi dapat mencurahkan bakti kepada pasukan.
Jelasnya, kesedihan pemain-pemain itu ada asasnya kerana mereka sudah serasi dengan kaedah diterapkan jurulatih berkenaan sehingga mampu menjadi pasukan yang berjaya. – KOSMO! ONLINE