PUTRAJAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Batik Air susulan isu kelewatan penerbangan OD 7634 Kuala Lumpur – Kuching pada 23 Disember tahun lalu.
MAVCOM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, surat itu dikeluarkan semalam, dan Batik Air diminta mengemukakan representasi secara bertulis kepada MAVCOM berhubung isu itu.
Menurutnya, pihaknya tidak berpuas hati dengan maklumat diberikan Batik Air berhubung gangguan komunikasi pada penerbangan itu, malah langkah pemakluman kepada pengguna terjejas juga tidak mencukupi.
“Ia adalah kewajipan MAVCOM untuk memastikan penyiasatan yang objektif dan mendalam dijalankan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Suruhanjaya perlu mengesahkan semua maklumat dari syarikat penerbangan dan pengguna yang terjejas bagi memastikan tindakan seterusnya adalah wajar,” katanya.
Katanya, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM200,000 untuk kesalahan pertama dan 10 kali ganda amaun bagi kesalahan kedua atau seterusnya jika didapati gagal mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
Jelasnya lagi, sehingga kini, MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM4.7 juta terhadap syarikat penerbangan kerana ketidakpatuhan kepada MACPC.
Sebelum ini, penerbangan Batik Air OD 7634 yang dijadualkan untuk berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuching pada pukul 11.35 malam pada 22 Disember 2022 ditangguhkan selama lapan jam sekali gus menjejaskan seramai 170 penumpang.
Berhubung pembatalan pembatalan penerbangan D7 219 oleh AirAsia X Bhd (AirAsia X) dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 2 Januari lalu pula, MAVCOM menjelaskan AirAsia X sudah menawarkan beberapa pilihan kepada pengguna terjejas.
Menurutnya, syarikat itu telah menawarkan pengguna bayaran balik penuh tiket penerbangan atau penerbangan alternatif sama ada pada tarikh yang terdekat atau tarikh lain bersesuaian.
“AirAsia X turut memberikan pilihan kepada pengguna terjejas untuk menempah semula penerbangan mereka dari Melbourne ke Kuala Lumpur dari tarikh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 tertakluk kepada ketersediaan penerbangan.
“AirAsia X juga telah menempatkan semula pengguna-pengguna penerbangan D7 219 dalam penerbangan lain antara 3 hingga 7 Januari 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE