KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan dan dua individu warga asing yang dipercayai tokan dadah diberkas dalam dua serbuan Op Acacia yang dilakukan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Menerusi dua serbuan itu, pihak polis berjaya merampas heroin, pil erimin 5 dan syabu yang bernilai RM154,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM375,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing di sebuah kondominium Taman Desa.
Katanya, pasangan kekasih berkenaan ditahan kerana memiliki 3.6 kilogram (kg) heroin yang bernilai RM40,000 dan 5,020 biji pil erimin 5 yang bernilai RM77,000.
“Kami turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz C180, sebentuk cincin emas dan wang tunai RM1,200.
“Suspek lelaki, 43, yang mempunyai 15 rekod jenayah serta lapan rekod narkotik didapati positif morfin manakala suspek wanita, 18, tidak mempunyai sebarang rekod dan hasil ujian air kencing juga negatif,” jelasnya.
Sehubungan itu, penangkapan pasangan terbabit telah membawa kepada serbuan kedua yang dilakukan di tempat letak kereta di Jalan Imbi pada hari sama.
“Suspek lelaki berusia 39 tahun ditahan kerana memiliki sekilo syabu yang bernilai lebih kurang RM37,000 dan polis turut merampas kereta jenis Toyota Camry.
“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod narkotik dan hasil ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif syabu,” jelasnya.
Katanya, sindiket ini bergiat aktif sejak dua bulan lalu dan menjadikan kondominium dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah untuk menyukarkan kegiatan mereka dikesan polis.
“Bahan terlarang diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk dipasarkan semula di sekitar Lembah Klang dan kesemua suspek menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan di siasat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -KOSMO! ONLINE.