fbpx

Bapa bakal hilang gaji, anak pula sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD. HANAN (dua dari kiri) bersama isteri dan anak-anak ketika ditemui di rumah mereka di Seksyen 18, Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Kehidupan tujuh beranak terus terhimpit de­ngan bebanan kewangan apabila ketua keluarga bakal kehilangan sumber pendapatan selain terpaksa menanggung kos rawatan jantung salah seorang anak.

Semuanya bermula apabila ketua keluarga, Abd. Hanan Yusof, 39, telah menghabiskan 60 hari cuti sakit yang diperuntukan syarikat bagi rawatan akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu.

Abd. Hanan yang juga pelukis pelan berkata, kemalangan itu berlaku ketika pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Damansara dengan menunggang motosikal yang menyebabkannya patah bahu, lengan, pergelangan tangan serta dua jari kelingking.

Katanya, perbelanjaan rawatan itu adalah antara RM100 hingga RM300 dengan pendapatan bulanannya hanya RM4,000.

“Ini adalah kali kelima saya kemalangan dengan paling teruk pada Disember 2018 apabila patah rusuk dan bahu.

“Kali ini, tempoh rawatan selama lima bulan. Semua cuti sakit sudah diambil, jadi mungkin selepas ini cuti tanpa gaji pula,” katanya di rumahnya di Seksyen 18, di sini baru-baru ini.

Jelas lelaki itu, dia adalah penanggung tunggal susulan isterinya, Juliana Ismail terpaksa berhenti kerja sebelum ini atas faktor kesihatan selepas melahirkan anak bongsu mereka, Qaiser Attique Harith Abd. Hanan yang kini berusia tujuh bulan.

Tambahnya, Qaiser Attique pula mengalami penyakit jantung sejak lahir susulan bukaan injap dan saluran darahnya amat kecil sehingga darah tidak dapat mengalir ke badannya secara normal.

“Anak bongsu kami hanya boleh minum susu tepung khas berharga lebih RM100 satu kotak. Memang mati akal saya memikirkan nasib kami. Ini ditambah perbelanjaan tiga lagi anak yang masih bersekolah,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB bernombor 7627634914 atas nama Juliana atau menghubunginya di talian 011-3305 7064. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI