HULU TERENGGANU – Seramai 23 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setelah perkampungan mereka di Kampung Kemat di sini dilanda banjir kilat semalam.
Dalam kejadian bermula pada pukul 4.30 petang itu, air bersama lumpur dipercayai dibawa fenomena kepala air dari sungai berhampiran menenggelamkan rumah penduduk di kawasan terlibat.
Seorang penduduk, Raja Sulaiman Raja Mamat, 67, berkata, dia dan empat ahli keluarganya terpaksa berpaut pada paip getah sewaktu meredah banjir bagi menyelamatkan diri.
“Arus air kali ini walaupun cuma setinggi 0.5 meter, tetapi agak deras dipercayai disebabkan fenomena kepala air dari sungai berhampiran,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Raja Sulaiman memberitahu, mereka agak trauma kerana ini kali ketiga perkampungan tersebut dilanda banjr sejak Februari tahun lalu.
Kesemua 71 mangsa terlibat bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air surut pada pukul 2 petang tadi. – KOSMO! ONLINE