SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersantai dengan penduduk sambil menjamu selera di Kedai Cendol Songkok Tinggi, Kampung Jiboi Baru di sini hari ini.
Anwar yang memakai baju melayu berwarna hijau lembut tiba pada pukul 12.35 tengah hari. Penduduk tidak melepaskan peluang bersalaman dan bertemu beliau secara lebih dekat.
Anwar dilihat meluangkan masa menikmati menu pilihan di kedai itu antaranya laksa Johor, jemput-jemput dan cendol.
Pengusaha Kedai Cendol Songkok Tinggi, Ahmad Dani Daud, 42, berkata, dia bagaikan bermimpi apabila kedainya menerima kunjungan daripada Anwar yang merupakan Perdana Menteri pertama yang datang ke menikmati makanan di premisnya.
“Perasaan saya bercampur baur dalam masa sama terkejut apabila dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri dua hari lalu yang memaklumkan Anwar mahu datang menikmati cendol di sini,” katanya.
Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd. Yusof, Sikamat di sini pada pukul 1.20 tengah hari. – KOSMO! ONLINE