PETALING JAYA – Pelakon juga penyanyi, Bella Astillah tampil menyangkal sekali gus mempertahankan tuduhan tidak berasas terhadap suaminya, Aliff Aziz yang didakwa sekali lagi bermain kayu tiga dengan wanita lain.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia dan suami sudah hilang sabar dengan pendekatan tidak beretika sesetengah portal memutarbelitkan situasi sehingga menimbulkan fitnah tentang situasi rumah tangga mereka.
“Lama kami berdiam diri. Tetapi hari ini terpanggil untuk buat satu hantaran berkenaan headline (tajuk berita) dan artikel yang disebarkan dalam media sosial (Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube) oleh kerana kami tidak ingin memberikan sebarang kenyataan.
“Penulis blog mengambil jalan mudah dengan menggunakan kenyataan Bella pada tahun 2019 dan disunting seolah-olah saya ada memberi kenyataan yang baharu. Inilah yang dikatakan fitnah,” katanya.
Ujar Bella, 29, semakin dia berdiam diri, semakin menjadi-jadi fitnah yang dilontarkan terhadap mereka.
“Kami berusaha berdiam diri tapi makin menjadi-jadi. Ramai menyarankan kami untuk ambil tindakan dan saman tapi kami ada banyak lagi perkara yang perlu diutamakan.
“Bila kami selalu muat naik gambar bersama orang cakap jangan menunjuk sangat, tapi bila kami tidak kongsi, orang cakap kami bergaduh. Kerana dengan segala fitnah yang dilemparkan sedikit sebanyak mengganggu kerja kami,” jelasnya.
Berharap semua pihak berhenti menyebarkan fitnah, Bella dan suami juga memohon ruang untuk bertenang dan fokus mencari rezeki demi keluarga kecil mereka.
“Kami suami isteri sekarang sibuk mencari rezeki, membesarkan anak-anak yang sudah mula bersekolah dan sedang menjalani rawatan. Minta tolong jasa baik anda semua untuk hentikan penyebaran cerita yang tidak berasas ini,” tulisnya dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, peserta program realiti, Famili Duo itu menyertakan bukti fitnah yang dimaksudkan.
“Video di atas (disertakan) berkenaan mata saya pedih jadi terpaksa buang pelekap kanta mata dan tiba-tiba bulu mata pun tercabut. (Video ini pada tahun 2019)
“Tapi video itu diambil dan dijadikan thumbnail, diletakkan headline sebegitu dan disebarkan.
“Terakhir sekali, kami mohon jasa baik semua hentikanlah spekulasi. Kerana kami juga punya keluarga di Sabah, Singapura dan sahabat-sahabat yang sedang bekerja dan mereka
sering ditanya soal ini,” katanya.
Menerusi hantaran terbabit, turut disertakan tangkap layar artikel berjudul ‘Tak pernah insaf, Aliff Aziz kantoi curang lagi’. Turut diselitkan kenyataan berbunyi: “Isteri sibuk cari rezeki, suami sibuk dengan betina lain.” – KOSMO! ONLINE