KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menggariskan lima pembaharuan yang perlu dilakukan segera bagi mengukuhkan semula parti sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada UMNO.
Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, parti itu perlu melakukan pembersihan dalaman secara ‘total’ tanpa sebarang kompromi.
Selain itu katanya, UMNO perlu menubuhkan akademi kepimpinan wanita bagi memberikan didikan dan fahaman politik yang mantap menerusi gerakan berstrategi.
“Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih visible, effective dan ‘prominent’ melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.
“Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai agen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan dasar pada Perhimpunan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu, pembaharuan terakhir yang perlu dilakukan adalah peranan dan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa.-KOSMO! ONLINE