ISLAMABAD – Seorang wanita kaya di Pakistan tidak menyangka insiden tayar keretanya pancit akan menjadi titik pertemuan dengan seorang mekanik sehingga mereka mengikat tali pertunangan, lapor saluran berita News 18 semalam.
Dalam satu temu bual bersama pesohor YouTube, Syed Basit Ali, wanita dikenali sebagai Ayesha itu berkata, dia jatuh cinta dengan tunangnya, Jisen, selepas lelaki itu membaiki tayar keretanya yang pancit ketika dia sedang dalam perjalanan ke satu tempat.
Menurut wanita berasal dari sebuah keluarga kaya-raya di Pakistan itu, selepas pertama kali mengenali Jisen, dia sengaja memancitkan tayar keretanya sebagai alasan untuk menemui lelaki tersebut.
Ujar Ayesha, dia mengagumi sikap Jisen yang sangat rajin membantu serta membuatkan wanita tersebut berasa selesa termasuk dengan memesan teh untuknya ketika berada di bengkel kereta.
Disebabkan kagum dengan semua usaha yang ditunjukkan Jisen, Ayesha mula tertarik kepada lelaki itu, lantas berulang kali sengaja memancitkan tayar keretanya agar dia dapat bertemu Jisen.
Ayesha berkata, dia tidak pernah mempersoalkan kerjaya Jisen dan menyayangi lelaki itu tanpa mengambil kira pekerjaannya. – Agensi