KUALA LUMPUR – Lebih selesa memberi ruang kepada Syamsul menyelesaikan urusan rumah tangga sendiri, Syafiq Yusof yang juga adik kepada pengarah kontroversi itu percaya abangnya mampu memperbetulkan semula keadaan.
Katanya, dia yakin Syamsul juga tabah berhadapan kemelut yang sedang dihadapi bersama isteri pertama, Puteri Sarah Liyana dengan caranya sendiri.
“Mengenali abang saya, dia seorang lelaki yang sangat tabah seperti ayah kami.
“Apa sahaja masalah, kerja dia mesti siap dan saya percaya dia mampu kendalikan (urusan rumah tangga) dengan sewajarnya” kepada Kosmo! Online.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan drama bersiri terbaharu arahannya, Special Force Anarchy terbitan Disney Hotstar dan Skop Productions, di sini, hari ini.
Enggan mencampuri urusan rumah tangga abangnya, Syafiq turut menegaskan belum pernah bertemu isteri kedua Syamsul, Ira Kazar sehingga sekarang.
Katanya, berita pernikahan itu pun hanya diketahui daripada ahli keluarga terdekat, bukan daripada mulut Syamsul sendiri sekali gus membuatkannya tidak pasti sama ada wanita tersebut pernah diperkenalkan kepada ibu bapa mereka sebelum ini.
“Saya memang tak pernah berjumpa dengan Ira sebelum ini sampailah sekarang. Saya pun tak pasti kalau mak dan bapa saya pernah bertemunya.
“Kami bukan tinggal serumah, ditambah kesibukan masing-masing terutama Syamsul yang banyak terbabit dalam filem besar membuatkan kami susah nak berkumpul.
“Kali terakhir kami berjumpa pada hari raya tahun lepas, tetapi perbualan lebih kepada filem dan projek baharu sahaja,” kongsinya lagi.
Diminta mengulas mengenai kontroversi yang tercetus, katanya lebih baik dia tidak memberikan ulasan lanjut bimbang ada pihak yang tersinggung.
“Kami bercakap di telefon pula sekitar dua bulan lalu namun masih berhubung soal kerja. Jika ada berborak pasal peribadi, biarlah semua itu saya simpan sendiri.
“Saya sebenarnya kalau boleh, hal keluarga biarlah kekal dalam lingkungan peribadi keluarga saja, tidak perlu dihebahkan kepada orang luar.
“Tetapi saya faham, bapa saya dan kami adalah keluarga seni jadi suka atau tak kami terpaksa terima terutama apabila berlakunya perkara yang menjadi perhatian ramai.
“Cuma bagi saya sesiapa pun boleh berfikir waras dan boleh tahu tak semua perkara dalam laman sosial itu benar. Ada yang bercampur baur, malah kebanyakannya mungkin fitnah,” katanya.
Pada masa sama, Syafiq turut berharap orang ramai berhenti mencetuskan sebarang spekulasi tidak benar yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Paling utama, saya minta netizen tidak membuat pelbagai andaian selain berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya peribadi keluarga tidak terus diperkatakan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai tangisan ayahnya, Datuk Yusof Haslam dan luahan ibunya, Datin Fatimah Ismail, akui Syafiq sebagai anak dia mendoakan insan kesayangannya itu tenang dalam menjalani kehidupan mereka.
Selaku adik kepada Syamsul pula, dia tidak ketinggalan turut mendoakan kebahagiaan serta kehidupan makmur abangnya bersama seisi keluarga.
Terkini, kemelut rumah tangga Syamsul dan semakin hangat apabila Sarah dilaporkan akan memfailkan perceraian pada Isnin depan. – KOSMO! ONLINE