PUTRAJAYA – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap isu pemilikan tanah membabitkan lebih 100 pemilik di Madai Baturong, Kunak, Sabah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, wakil penduduk kampung berkenaan tampil membuat aduan kepada MHO Sabah dengan mendakwa tanah diusahakan mereka selama lebih 25 tahun telah diberikan pemilikan kepada pihak ketiga.
Menurut Hishamuddin, penduduk asal Madai Baturong telah membuat permohonan tanah (PT) sebanyak tiga kali kepada pihak berkuasa sejak tahun 1990-an, namun apabila semakan dibuat pada 2016, mereka diberikan Surat Pembatalan PT oleh Pegawai Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).
Katanya, pada 2021, penduduk kampung menerima maklumat bahawa PT mereka telah dibatalkan oleh pihak berkuasa selain pembatalan tersebut tidak dimaklumkan kepada pemohon.
“Kenapa nak masuk tanah yang dah diteroka dan diusahakan dengan ditanam sawit dan sudah ada perumahan? Mereka sudah tulis surat dan pergi ke Jabatan Tanah dan Ukur, untuk tahu mengapa PT mereka dibatalkan, sekiranya PT ingin dibatalkan kebiasaannya terdapat ulasan antaranya tanah itu tidak berpenduduk atau tidak diusahakan.
“Jelas ini menunjukkan seolah-olah ada satu isu yang perlu disiasat bagaimana tanah yang diusahakan dalam bentuk ladang (kelapa sawit) dibatalkan PT, ia seperti cuba mengusir orang yang dah lama tinggal di situ padahal mereka ini bukan warga asing tetapi dari suku Bugis, Dusun serta sebahagiannya masyarakat Cina,” katanya.
Hishamuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat SPRM bagi memohon perhatian dan satu siasatan terperinci oleh SPRM bersama dua lagi NGO, Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pakin Malaysia.
Sementara itu, Geofle Joseph, 36, yang merupakan penduduk generasi kedua dari kampung berkenaan memberitahu, penduduk asal telah mengusahakan tanah di kawasan tersebut sejak tahun 1997 sehingga kini.
Difahamkan, tanah berkeluasan 10 ekar bagi setiap pemilik itu adalah sebuah skim membasmi kemiskinan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri bagi pekebun kecil.
“Selama kami mengusahakan tanah itu, kami telah memohon PT sebanyak tiga kali atas arahan Jabatan Tanah Daerah, kami ikut arahan yang dikeluarkan namun pada 2021 kami sangat dukacita apabila menerima surat pembatalan tanpa sebab.
“Kemudian kami datang ke Jabatan Tanah Daerah namun masih tidak dapat jawapan apa sebab PT kami dibatalkan, jadi kami sebulat suara mengambil keputusan sebagai pekebun kecil meminta bantuan dari MHO untuk membela kami.
“Tanah itu tidak lah luas mana cuma 10 ekar sahaja setiap orang, jadi itulah tanah untuk membesarkan anak-anak kami dan generasi seterusnya. Sekiranya tanah itu diberi kepada orang lain, dimana lagi tempat kami?,” soalnya. – KOSMO! ONLINE