fbpx

Selangor teliti wajib semula pelitup muka, penjarakan fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua kiri) ketika menyempurnakan Pusat Prasekolah AnIS di Seksyen 7, Shah Alam. -Foto SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada peningkatan statistik dan jumlah kes Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kata beliau, kerajaan negeri menjalankan pemantauan secara bulanan dan mingguan terutama berkaitan tahap kemerebakan pandemik itu.

“Jika berlaku lonjakan besar kes Covid-19, kita semestinya akan mengambil tindakan lanjut termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Itu pentingnya penggunaan aplikas MySejahtera dan SeLangkah dalam mengenalpasti individu yang dijangkiti pandemik berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7 di sini, hari ini.

Kosmo! pada 7 Januari lalu pernah melaporkan segelintir penduduk di Shah Alam mahu tindakan drastik dilakukan kerajaan termasuk mewajibkan semula pema­kai­an pelitup muka kepada orang awam serta pelancong di semua lokasi di negara ini berikutan kebimbangan dua varian baharu Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7.

Amirudin turut menyeru orang ramai supaya segera mengambil suntikan dos penggalak dengan kerajaan negeri mendapati jumlah penerima suntikan itu masih rendah di Selangor berbanding penerima suntikan dos pertama dan kedua.

“Masyarakat perlu menerima hakikat bahawa mereka wajib dilindungi sepenuhnya kerana Covid-19 akan berlarutan dalam jangka masa panjang terutama kemunculan varian baharu,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjaja dan pengusaha restoran di Selangor dibenarkan memakai sebarang jenis pelitup muka di premis mereka.

“Saya memahami mungkin ada kekeliruan mengenai penetapan baharu yang dikeluarkan bermula awal bulan ini. Namun, apa yang penting adalah perlu memakainya ketika memasak dan menyediakan makanan bagi mengelak sebarang penyebaran kuman atau penyakit,” katanya.

Mengulas berkaitan Pusat Prasekolah AnIs, kata Amirudin, pihaknya bercadang untuk menubuhkan pusat itu di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Pusat di Shah Alam yang menjadi projek perintis itu bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa kurang berkemampuan untuk menghantar anak mereka.

“Kita memahami kos untuk pusat jagaan atau pusat pendidikan khas agak tinggi dan inisiatif ini sekaligus meringankan lagi beban mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI