fbpx

Puteri Sarah nekad failkan cerai Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEPUTUSAN Puteri Sarah untuk bercerai mendapat persetujuan kedua ibu bapa dan mentuanya.

PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah Liyana Kamaruddin mengesahkan bakal menfailkan permohonan cerai dengan Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pada Isnin depan.

Kata Puteri Sarah, tindakan segera mahu bercerai dibuat setelah mendapat persetujuan orang tua dan ibu bapa mentuanya.

“Memang saya sendiri akan hadir ditemani peguam untuk mengajukan permohonan bercerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin ini (minggu depan).

“Keputusan ini bukan dilakukan dengan emosi, sebaliknya saya sudah mempertimbangkan pelbagai perkara sebelum nekad berbuat demikian.

“Malah saya sudah mendapatkan persetujuan hasil perbincangan dengan mak ayah serta mentua. Mereka menghormati pilihan yang saya lakukan ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, sudah tiba masa untuknya mencari kebahagiaan sendiri bersama anak-anak selepas lebih empat tahun membuka ruang buat suaminya.

“Bagilah saya ketenangan menjalani kehidupan mendatang. Saya pun sudah berfikir panjang sejak sekian lama, jadi tiada isu. Doakan saya dan anak-anak terus kuat,” katanya.

Kata pelakon berusia 38 tahun itu, sepatutnya dia menfailkan permohonan untuk bercerai pada hari ini namun terpaksa ditangguhkan ke minggu depan berikutan urusan kerja.

Akuinya, penggambaran drama lakonannya di luar Kuala Lumpur yang tamat agak lewat pagi tadi membuatkannya menukar perancangan asal.

“Saya menjalani penggambaran di Port Dickson, Negeri Sembilan yang tamat sekitar pukul 4 pagi. Jadi urusan ke mahkamah dianjakkan ke awal minggu depan,” katanya.

Kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul yang didakwa sudah berlanjutan selama empat tahun tiba di kemuncak selepas sutradara itu membuat pengakuan menikahi Ira Kazar di Thailand.

Tidak rela dimadukan, Puteri Sarah melalui Instagramnya memohon supaya Syamsul ‘melepaskannya’, manakala suaminya pula meminta dia pulang ke rumah untuk berbincang menyelesaikan masalah mereka secara bersemuka.

Sarah bernikah dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu pada 2014.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI