KUALA LUMPUR – Siapa sahaja yang dipilih bagi menggantikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selepas tampuk kepimpinan Datuk Seri Asyraf Wajdi Dasuki selepas ini perlu membawa sayap tersebut ke tahap yang lebih tinggi daripada sedia ada.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Machang, Mohd. Fakaruddin Ismail berkata, visi yang ingin dibawa oleh Asyraf sebelum ini juga yang mahukan Pemuda memahami sepenuhnya perjuangan parti perlu diteruskan.
“Di bawah pimpinan Asyraf selama ini cukup jelas beliau mahukan Pemuda UMNO betul-betul faham apa itu UMNO dan apa itu perjuangan yang dibawa oleh parti.
“Tidak kira siapa pengganti beliau selepas ini, apa yang saya harapkan adalah pengganti itu membawa naratif serta motif yang sama walaupun dengan cara yang berbeza,” jelasnya kepada Kosmo! hari ini.
Terdahulu, pada sesi Penggulungan Ucapan Pergerakan Pemuda UMNO petang tadi, Asyraf telah menyatakan hasratnya yang tidak mahu mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini dalam pemilihan parti tidak lama lagi.
Asyraf juga turut meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas dirinya di atas kekalahan besar UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru- baru ini.
Dalam pada itu, tambah Mohd. Fakaruddin lagi, UMNO perlu memperkasakan Putera UMNO yang diwujudkan di bawah Pemuda untuk rendahkan syarat umur bagi menyertai sayap tersebut yang sebelum ini 25 tahun ke bawah kepada 21 tahun ke bawah.
“Parti antara lain perlu memperkasakan Putera UMNO kerana perlu kembalikan keyakinan anak muda dan pengundi kali pertama untuk terus menyokong UMNO dalam siri Pilihan Raya Umum selepas ini,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE