YAN – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dipercayai akibat diserang sawan dalam kejadian di Jalan Guar Chempedak-Yan di sini pada petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Fikri Zainol, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis SYM E Bonus 110 cc dari Yan ke Guar Chempedak.
“Setibanya di lokasi kejadian berhampiran pasar borong Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, mangsa dipercayai diserang sawan menyebabkan motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh ke kanan jalan.
“Akibat hentakan kuat semasa terjatuh, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata Shahnaz, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE