PUTRAJAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini dijangka di antara RM4,000 hingga RM4,200 satu tan berbanding RM5,087.50 satu tan pada tahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, antara faktor mempengaruhi termasuk isu tenaga kerja yang belum selesai dan pengeluaran biji bunga matahari yang lebih rendah dari Ukraine berikutan konflik berterusan dengan Russia.
Beliau berkata, faktor lain dikesan termasuk pengeluaran MSM Indonesia yang dipersoalkan, mandat biodieselnya kepada B35 dan dasar eksportnya yang diperketatkan.
“Bagaimanapun, harga MSM itu dapat diseimbangkan menerusi import minyak sawit lebih tinggi oleh China susulan kelonggaran peraturan Covid-19 di republik itu,” katanya ketika berucap pada Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 anjuran MPOB di sini, hari ini.
Pada tahun lalu, konflik Rusia – Ukraine menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit meningkat malah, MSM pernah didagangkan pada harga tertinggi dalam sejarah iaitu sekitar RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac 2022.
Dalam pada itu, Ahmad Parveez berkata, permintaan minyak sawit Malaysia juga dijangka meningkat yang akhirnya akan membantu mengurangkan stok minyak sawit domestik yang lebih tinggi.
“Harga MSM juga didorong oleh kebimbangan terhadap risiko bekalan kacang soya akibat trend cuaca kering di Argentina dan selatan Brazil yang dilihat menjejaskan tanaman.
“Biarpun terdapat beberapa isyarat bahawa cuaca kering di Amerika Selatan semakin baik, ia mungkin terlalu lewat ketika ini untuk menyelamatkan tanaman,” katanya.
Sementara itu, katanya, eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada tahun ini berbanding 15.72 juta tan tahun lalu.
Menurutnya, ia didorong jangkaan permintaan minyak sawit yang berterusan daripada negara pengimport.
Jelasnya lagi, pendapatan bersih bulanan pekebun kecil persendirian berdasarkan purata pemilikan kebun adalah sekitar RM2,634.-KOSMO! ONLINE