fbpx

Lima bas buat lawatan dikompaun RM25,000 tidak ada pemandu pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa MOTAC membuat pemeriksaan dalam operasi bersepadu membabitkan bas pelancongan pada Sabtu lalu.

MELAKA – Lima buah bas yang membawa pelancong domestik dikenakan kompaun RM25,000 selepas dikesan tidak mempunyai pemandu pelancong dalam satu operasi bersepadu dijalankan di sini, pada Sabtu lalu.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka, Jay Yeow C.C berkata, secara keseluruhan sebanyak 20 bas pelancong diperiksa dan lima dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Ujarnya, kesemua lima bas terbabit dikenakan kompaun maksimum RM5,000 selepas mengakui tidak menggunakan pemandu pelancong dalam program dilakukan.

“Pada Sabtu lalu kita telah melakukan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan memeriksa sebanyak 20 buah bas yang membawa pelancong domestik.

“Lima buah bas bagaimanapun dikesan melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 kerana tiada pemandu pelancong dan setiap kenderaan telah dikenakan kompaun dengan nilai maksimum RM5,000 setiap satu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis reviu makanan Iftar Ramadan Hotel Imperial, di sini, malam tadi.

Ujarnya, hasil soal siasat dilakukan, rata-rata pemandu bas memberikan alasan tidak mengetahui syarat tersebut dan menyalahkan pihak agensi pelancongan terlibat.

“Pemandu bas ini mendakwa mereka hanya membawa kenderaan pelancong dan tidak mengetahui mengenai peraturan ini kerana kesemuanya diuruskan oleh pihak syarikat ejen pelancongan dilantik.

“Sekalipun syarikat ejen pelancongan terbabit mahupun mana-mana pihak tidak mahu menggunakan pemandu pelancong, permohonan pelepasan perlulah didapatkan dan kes ini kebiasannya membabitkan program-program lawatan dibuat oleh pihak sekolah,”katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, secara anggaran sebanyak 20 syarikat ejen pelancongan di negeri ini telah dibatalkan lesen perniagaannya selepas gagal memperbaharui dokumen itu dalam tempoh ditetapkan.

Ujarnya, bagaimanapun kesalahan membabitkan penipuan pakej pelancongan merupakan kes terpencil susulan siasatan dilakukan mendapati kebanyakan syarikat didakwa terlibat tidak lagi menjalankan operasi di lokasi dilaporkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI