ALOR GAJAH – Tiga beranak di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini, terpaksa menumpang hidup tinggal di sebuah stor yang terletak di kebun milik seorang kariah selepas tidak lagi mampu membayar sewa rumah berikutan tahap kesihatan semakin merosot.
Hasan Dahlan, 55, terpaksa membawa isterinya, Rosminah Hasdawi, 54, dan anak mereka yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, Norsofiah Hasan, 18, untuk tinggal dalam keadaan serba daif.
Menurut Hasan, keadaan itu berlaku selepas dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik dan terpaksa melakukan dialisis pada setiap hari sehingga menyukarkannya melakukan pekerjaan.
“Dahulu kami tinggal di Kampung Pinang di Masjid Tanah, namun terpaksa keluar selepas saya tidak lagi mampu bekerja seperti biasa dan membayar sewa. Kami kini hidup menumpang di kebun orang,” katanya sayu semalam.
Hasan berkata, dia juga tidak mampu menjalani dialisis di hospital atau pusat rawatan dan hanya melakukannya sendiri di rumah dengan keadaan persekitaran yang tidak sesuai.
“Mujur air dialisis ini mempunyai subsidi, dapatlah saya membelinya, namun untuk makan minum kami, semuanya terpaksa dicatu kerana bekalan makanan adalah sumbangan ihsan kenalan.
“Saya hanya menambah pendapatan dengan mencari tin-tin dan kotak-kotak kosong untuk dijual, selain mengambil upah membersihkan masjid berhampiran,” ujarnya.
Kata Hasan, isterinya sebelum ini bekerja menjaga orang tua yang uzur, namun berhenti setelah pesakit itu meninggal dunia dan dia pula mengalami masalah lutut.
Lebih menyedihkan apabila Norsofiah pula sering diserang sawan sehingga gagal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.
“Anak saya juga baru dapat kad daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menerima bantuan bermula bulan ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0400341100030644 atas penama Norsofiah Hasan.