LAS VEGAS – Seorang wanita digelar sebagai ‘jutawan termurah di dunia’ kerana dia lebih gemar makan makanan kucing dalam tin berbanding tuna dalam usaha pelik untuk menjimatkan wang, lapor portal berita Daily Mirror semalam.
Bintang siri realiti televisyen Extreme Cheapskates, Aimee Elizabeth dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) mempunyai nilai kekayaan bersih lebih AS$5.3 juta (RM23.14 juta).
Bagaimanapun, dia sanggup menjimatkan wang dengan membeli makanan kucing dalam tin kerana ia lebih murah daripada membeli tuna dalam tin untuk menjadi makanannya.
Salah seorang rakan Elizabeth berkata dalam rancangan TLC: “Satu ketika saya perasan Aimee seorang yang murah hati ialah (apabila) saya datang ke rumahnya dan dia bertanya sama ada saya mahu makan tengah hari.
“Jadi saya berkata, tentu. Dia membuatkan saya sandwic tuna. Semasa saya makan sandwic, saya berfikir, ini (sandwic) hanyir sedikit, apakah ini?.
“Kemudian saya melihat di atas meja dan saya perhatikan terdapat tin makanan kucing yang kosong,” katanya.
Kemudian, dia berkata kepada dirinya bahawa Elizabeth mungkin tidak menggunakan makanan kucing dalam tin ketika membuat sandwic untuknya.
Namun, Elizabeth yang merupakan seorang penulis mengaku bahawa tin makanan kucing adalah AS$0.30 sen (RM1.31) lebih murah daripada tin ikan untuk manusia. – Agensi