KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan 126 ketua bahagian yang inginkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti sebagai suatu ‘kegilaan’.
Jelas Timbalan Ketua UMNO bahagian Rembau itu lagi, tiada mana-mana individu yang wajar membenarkan demokrasi dalam UMNO dimatikan.
“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa presiden seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan.
“Jangan mati demokrasi dalam UMNO, apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka,” katanya di Instagram rasminya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 126 Ketua UMNO Bahagian menyatakan kebersamaan mereka untuk melihat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding tahun ini.
UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum tarikh akhir pada 19 Mei ini iaitu tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pemilihan yang sepatunya diadakan tahun lalu telah ditangguhkan bagi membolehkan UMNO memberi tumpuan kepada pilihan raya terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE