fbpx

Harga bawal, udang putih dikawal sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin meninjau harga barang di sebuah pasar raya besar di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Sebanyak lapan jenis barang diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 bermula 15 hingga 29 Januari ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, langkah itu adalah sebahagian daripada peranan kementerian untuk meringankan beban rakyat terutama yang menyambut perayaan itu.

Katanya, skim tersebut menetapkan penurunan harga antara 25 hingga empat peratus daripada harga asal barang berkenaan.

“Lapan jenis barangan yang akan diwartakan dalam skim ini ialah ikan bawal putih yang berat antara 200 hingga 400 gram, udang putih (berat antara 41 hingga 60 ekor), bawang putih dan ubi kentang dari China, kobis bulat import (Indonesia dan China).

“Itu termasuk babi hidup iaitu kawalan di peringkat ladang, daging babi (perut) dan juga daging babi (daging dan lemak).  Sebagai contoh, bawal putih ini harga maksimum yang dicadangkan di peringkat runcit adalah RM42 sekilogram,” katanya pada Majlis Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 di sebuah pasar raya besar di sini hari ini.

Kata beliau, pelaksanaan kawalan harga itu bertujuan menstabilkan harga dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

“Misalannya, daging babi perut, harga kawalan di peringkat runcit ialah RM36 dan di peringkat runcit adalah RM37.85 iaitu lima peratus lebih tinggi jika tidak dikawal. Akhir sekali daging babi dan lemak di mana harga di peringkat runcit adalah RM25 dan harga biasa adalah RM26 iaitu empat peratus lebih tinggi,” katanya.

“Jadi ada lapan barang yang dikawal ini, kita berharap dapat memberi sedikit manfaat khususnya kaum Tionghua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menyentuh tentang masalah kekurangan bekalan telur di pasaran yang mengakibatkan kenaikan harga barang itu, katanya, isu tersebut dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI