KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 selepas tersingkir di pusingan kedua hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, gandingan juara dunia itu akur dengan kekalahan 10-21, 21-23 kepada beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dalam tempoh 41 minit.
Keputusan itu menyaksikan beregu No.3 dunia tersebut sudah tewas sebanyak tiga kali kepada Yu Chen-Xuan Yi termasuk kalah pada peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir dan Terbuka Indonesia tahun lalu.
“Pada perlawanan hari ini, kami lakukan banyak kesilapan mudah dan ia disebabkan kesilapan diri sendiri. Mereka merupakan pemain yang sangat mantap dan kami tidak pernah menang lawan mereka.
“Sekarang sudah berubah gandingan, mungkin tidak mudah untuk menang dengan mereka. Kami akan kaji lagi permainan mereka kerana mungkin jumpa dalam kejohanan akan datang,” kata Aaron sejurus tamat perlawanan.
Pada masa sama, pemain berusia 26 tahun itu mengakui berdepan tekanan dalam perlawanan tersebut, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan dan tekad untuk bekerja lebih keras selepas ini.
“Saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki, jadi kami perlu bekerja keras. Perjalanan masih panjang dan tahun ini juga adalah kelayakan untuk Sukan Olimpik,” ujar pemain kelahiran Melaka itu. – KOSMO! ONLINE