fbpx

‘Bangga dapat tanam lebih 50 jenis anggur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HISHAM memetik salah satu daripada 50 jenis anggur yang ditanam di tapak semaiannya di Simpang Empat, Alor Setar.

ALOR SETAR – Bermula hanya sekadar suka-suka, seorang lelaki tidak menyangka dia kini mampu menuai hasil sehingga 50 jenis anggur di tapak semaiannya di Simpang Empat di sini.

Mohd. Hisham Md. Isa, 49, yang mula menanam buah itu sejak hampir setahun lalu berkata, dia pada mulanya hanya menanam beberapa jenis anggur sebagai satu eksperimen.

“Kira-kira 10 bulan lepas saya beli benih dari Indonesia untuk sekadar mencuba. Dari situ saya tambah sedikit demi sedikit dan kini ada lebih 50 jenis anggur yang ditanam termasuk anggur dari Amerika Syarikat, India dan Jepun.

“Buat masa ini saya tanam untuk keluarga dan saudara-mara makan dan mungkin boleh dikomersialkan nanti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang juga pengusaha nur­seri berkata, antara spesies anggur yang terdapat di tapak semaiannya ialah Red Globe, Sunny Dolce, Red Romance, Angelica, Nina Queen dan Carnival.

“Ramai yang menganggap Malaysia tak sesuai untuk tanam anggur, tetapi sebenarnya itu salah kerana Indonesia dan Thailand misalnya sudah menjadi penanam anggur secara komersial.

“Malah, negara Asia sangat sesuai untuk tanaman anggur kerana cuaca panas sepanjang tahun tidak seperti di negara Barat yang ada musim sejuk,” ujarnya.

Katanya, antara cabaran utama mengusahakan tanaman anggur itu adalah faktor hujan dan serangga seperti burung.

“Kalau hujan berterusan tidak sesuai kerana akan menyebabkan buah jadi tawar. Sebab itu anggur perlu ditanam di rumah hijau.

“Selain itu, buah anggur juga perlu dibalut supaya tidak dimakan burung atau serangga. Itu sahaja kena jaga, sebenarnya tak susah pun,” jelasnya.

Ujarnya, apa yang menarik, tanaman itu akan berbuah sepanjang masa selagi pokoknya subur dan tidak mereput.

“Ramai yang seronok datang ke sini apabila dapat tengok pelbagai jenis pokok anggur ini yang mungkin tidak terdapat atau dijual di kedai dan pasar raya.

“Ada yang nak minta beli tapi saya tak jual cuma sedekah sahaja,” katanya.

Mohd. Hisham berkata, dia kini menjadi pembekal kepada pelbagai jenis pokok termasuk bunga dan pokok tin yang diusahakan di tapak semaiannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI