fbpx

Ayah mentua di ICU, Ernie Zakri mohon doa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN bergelut dengan kesihatan bapanya, Syamel tetap turun bagi memberi sokongan buat Ernie pada persembahannya malam tadi.

PETALING JAYA – Penyanyi Ernie Zakri memohon jasa baik peminat bagi mendoakan kesembuhan bapa mentuanya, Mohd. Fodzly yang kini ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Ernie sebelum menyampaikan lagu Korban hasil karya suaminya, Syamel ketika menjayakan This Is Ernie Zakrie Showcase di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama, di sini semalam.

Dalam pada sibuk memantau keadaan ayahnya, Syamel sempat menghadirkan diri bagi menyokong persembahan isterinya.

“Saya ingin meminta doa baik daripada kalian untuk mendoakan ayah mentua saya yang kini dirawat di ICU.

“Saya juga tidak sangka suami dapat menghadirkan diri kerana saya tahu dia sibuk menjaga ayahnya di hospital.

“Melihatkan usahanya datang pada malam ini pun sudah membuatkan saya gembira dan bersyukur,” katanya kepada Kosmo! Online.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Gundah itu memaklumkan keadaan terkini ayah mentuanya selain berkongsi perkhabaran sedih yang diterima semasa sedang bercuti di London bersama keluarga baru-baru ini.

“Perkara sebegini tidak dijangka kerana berlaku secara tiba-tiba. Sebelum ini ketika bercuti bersama suami pun saya menerima berita kematian ahli keluarga saya.

“Apabila ayah mentua berada di dalam ICU, Tuhan sahaja yang mengetahui apa yang saya rasa.

“Alhamdulillah, kini dia sudah stabil tetapi masih dirawat di ICU,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi asal Kuala Lumpur itu sempat meninggalkan nasihat kepada semua untuk menghubungi orang tersayang sementara masih ada masa.

“Jadi, kepada yang memiliki pasangan, adik-beradik, rakan-rakan dan orang yang disayangi tolonglah hubungi mereka walaupun malu untuk luahkan perasaan.

“Kita tidak tahu bila-bila masa tidak dapat berjumpa dengan orang yang tersayang seperti saya yang kehilangan dua orang ahli keluarga.

“Balik nanti hubungi mereka dan luahkan rasa sayang. Jika tidak, orang tidak tahu perasaan anda,” tuturnya sebelum menyanyikan lagu Korban.

Dalam pada itu, Syamel turut memohon doa orang ramai untuk kesembuhan ayah kesayangannya dalam perkongsian InstaStory.

“Minta jasa baik semua untuk mendoakan kesembuhan ayah kesayangan saya yang kini berada di ICU akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Tiga hari sudah berlalu dan alhamdulillah keadaannya semakin baik. Sama-sama kita doakan,” ujarnya.

Semasa berlangsungnya This Is Ernie Zakrie Showcase yang dianjurkan oleh Rocketfuel Entertainment malam tadi, penyanyi berusia 31 itu membawakan 10 buah lagu hit buat peminat yang hadir.

Rakan selebriti juga turut hadir bagi memberi sokongan seperti Sissy Iman, Wany Hasrita, Amira Othman, Amelia Henderson, Ben Amir, Sarah Suhairi, Nabila Razali dan Ara Johari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI