KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dasuki nyatakan hasrat beliau untuk tidak pertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini.
Ketika berucap dalam Sesi Penggulungan Ucapan Ketua Pemuda di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) sebentar tadi, beliau turut memohon maaf dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan parti dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Untuk kali terakhir berada di pentas ini, saya ingin nyatakan bahawa tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda yang saya pegang selama lima tahun ini dalam pemilihan parti akan datang.
“Saya juga ingin mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
“Saya berharap agar siapa sahaja yang mengemudi sayap Pemuda selepas ini agar terus perjuangkan apa yang kita lakukan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. – KOSMO! ONLINE.