fbpx

Asam pedas sembilang, mayong penambat selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZAH menunjukkan sebahagian lauk-pauk yang ditawarkan di warung Kak Yah Asam Pedas di Parit Ahmad, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor.

HIDANGAN berasaskan asam pedas pasti membuka selera sesiapa sahaja terutama peminat tegar juadah tersebut.

Itulah menu asas kepada warung Kak Yah Asam Pedas (KYAP) yang diusahakan sejak enam tahun lalu di Parit Ahmad, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor.

Menariknya, ramai peminat asam pedas di sekitar Johor berkunjung ke warung tepi jalan yang diusahakan secara konsep perniagaan keluarga itu.

Menurut pemilik KYAP, Azizah Kamaruddin, warung berkenaan menawarkan pelbagai menu asam pedas berasaskan ikan sungai dan laut, sekali gus menjadi signatur di premis perniagaan kepunyaan asal ibunya itu.

Katanya, antara pilihan asam pedas yang paling mendapat perhatian dan menjadi kegemaran pelanggannya adalah pari, jenahak merah, sembilang dan mayong.

“Empat jenis ikan ini memang menjadi taruhan kami, lebih-lebih lagi ikan sembilang dan mayong.

“Asam pedas di sini menggunakan resipi rahsia turun-temurun daripada ibu saya yang berniaga secara kecil-kecilan sebelum wujudnya warung ini,” katanya.

Tambahnya, selain menu asam pedas, pelbagai lauk-pauk lain turut ditawarkan seperti siput sedut masak lemak batang keladi, kari kepala ikan jenahak, udang goreng dan aneka sayur.

Antara sayur yang ditawarkan termasuklah tauge, peria, kobis, bayam, bendi, pisang masak lemak dan lain-lain.

“Selain daripada sayur, kami turut menawarkan makanan berasas gorengan seperti tempe goreng, telur dadar dan ikan masin bulu ayam yang menjadi pelengkap kepada menu utama,” katanya.

Bercakap mengenai penerimaan pelanggan, Azizah tidak pernah menyangka warung asam pedas milik keluarganya itu turut digemari masyarakat dari luar Johor.

AZIZAH (tiga dari kanan) bergambar bersama para pekerja warung Kak Yah Asam Pedas yang kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

Ujarnya, setiap kali hujung minggu, warungnya pasti dikunjungi pelbagai lapisan pelanggan yang hadir dari luar Johor termasuk Lembah Klang, Terengganu dan beberapa negeri lain.

“Alhamdulillah, setiap kali kami buat posting (muat naik) dalam media sosial, pasti ada sahaja pelanggan yang hadir. Ada juga yang berulang kali datang semata-mata untuk makan asam pedas.

“Rasa asam pedas di sini tidak begitu pedas dan sempurna dengan rasa masam serta masinnya.

“Ini membuatkan pelanggan yang pernah datang akan kembali untuk menjamu selera di sini,” katanya.

Azizah memberitahu, setiap hari, dianggarkan lebih 20 kilogram ikan daripada pelbagai jenis digunakan untuk dimasak di warungnya.

Ditanya mengenai sumber bahan mentah, ibu kepada lima cahaya mata yang juga merupakan tukang masak utama di warung itu memberitahu, dia mendapatkannya dari pasar terletak di Parit Jawa, Muar.

“Kami memang menggunakan ikan segar yang dibeli dua hari sekali secara pukal di pasar berdekatan.

“Pelanggan warung kami dihidangkan dengan sumber bekalan ikan sungai dan laut yang segar serta manis isinya pada harga berpatutan,” tuturnya yang turut menyediakan perkhidmatan katering bagi acara-acara tertentu.

Azizah menambah, premisnya boleh menampung kapasiti seramai 60 orang pada satu-satu masa.

Katanya, warung itu memiliki kekuatan tenaga kerja seramai 10 orang yang rata-ratanya merupakan ahli keluarga sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI