MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengesan sebanyak 28 masjid warisan berusia 100 tahun di negeri ini telah mengguna pakai arah kiblat yang tidak tepat.
Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu telah dipastikan melalui pemeriksaan yang dilakukan secara berperingkat sejak empat tahun lalu melibatkan kerjasama Jabatan Mufti Melaka dan Jabatan Ukur dan Pemetaan negeri.
Ujarnya, kekhilafan itu berlaku disebabkan penentuan arah kiblat masjid tua berkenaan dibuat menggunakan kaedah pengiraan tradisional berdasarkan cerapan matahari dan bayang-bayang.
“Kita telah berkolaborasi dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan negeri untuk melakukan semakan arah kiblat melibatkan masjid warisan berusia lebih 100 tahun dan mendapati 28 daripada 55 buah masjid mengguna pakai arah yang tidak tepat.
“Ada arah kiblat yang tersasar melebihi tiga hingga 18 darjah daripada arah kiblat sebenar dan kita percaya hal ini berlaku disebabkan kaedah penentuan yang digunakan pada zaman itu iaitu berdasarkan cerapan matahari atau penentuan bayang-bayang.
“Bukan bererti orang dahulu salah tetapi pada ketika itu mungkin tiada badan yang mengawal, tiada teknologi canggih seperti kompas dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat dan Penarafan Bintang yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md. Rawi Mahmud, di Semabok, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua masjid yang dikesan bagaimanapun telahpun dibetulkan arah kiblatnya.
“Antara 28 masjid warisan terbabit yang sudah dibetulkan arah kiblatnya adalah Masjid Al Abrar, Semabok, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling, Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Duyong dan Masjid Serkam.
“Bagaimanapun, jemaah tidak perlu ragu mengenai arah kiblat ini kerana kita sentiasa melakukan semakan di seluruh negeri,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat ini, pihaknya telah menerima permohonan lebih 150 premis dan 80 buah rumah untuk melakukan pemeriksaan semula arah kiblat.
Katanya, MAIM mempunyai pegawai falak yang berkemahiran menentukan kiblat dan umat Islam yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu dikenakan caj RM100 bagi individu, manakala premis perniagaan, surau dan masjid pada kadar RM200. – KOSMO! ONLINE