fbpx

Anggota imigresen ugut bunuh bekas kekasih guna pedang samurai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIS semasa diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini turut sedang menjalani rawatan psikiatri.

MELAKA – Seorang wanita yang merupakan anggota Jabatan Imigresen (JIM) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengugut untuk menikam sampai mati bekas kekasihnya dengan pedang samurai kerana hutang RM60,000, tahun lalu.

Tertuduh, Anis Anuar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada Mohamad Faizul Mohd. Fadli, 32, dengan kata-kata ‘kalau aku jumpa memang kena tikam sampai mampus, suruh bayar semua duit aku dulu kalau tak aku bunuh dia. Bagitahu Faizul p****** itu kalau dia berani datang cari aku nak balas dendam lepas pasni, aku standby dengan (pedang) samurai’.

Kesalahan itu dilakukannya kira-kira pukul 3 petang di pos pengawal Gate A, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dalam daerah Melaka Tengah pada 8 September 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tertuduh yang juga merupakan seorang ibu tunggal satu anak bertindak sedemikian selepas berang bekas kekasihnya itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berhutang dengannya kira-kira RM60,000.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan syarat-syarat tambahan penjamin mestilah ahli keluarga terdekat tertuduh dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai serta tidak mendekati pengadu.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya anggota berpangkat rendah di JIM dan sedang menjalani rawatan psikiatri.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Sharda kemudian menetapkan 21 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI