MUSIM pertama Alice in Borderland (AiB) mencipta fenomena tersendiri dan merupakan siri paling laris keluaran Jepun dalam platform penstriman, Netflix.
Musim kedua baru sahaja bertemu peminat baru-baru ini. Verdict? Hebat, namun tidak segah musim pertama. Barangkali ramai berpendapat, mereka sudah tahu apa yang akan berlaku dalam babak selanjutnya kerana cerita tersebut adalah adaptasi komik manga tulisan Haro Aso.
Sungguhpun begitu, dari segi visual, unsur saspens dan permainan karakter terlibat (terutama dua bintang utama, Kento Yamazaki dan Tao Tsuchiya) sememangnya wajar diberikan perhatian dan pujian.
Realiti sebenar Arisu
Akhirnya, peminat akan mengetahui realiti sebenar selepas Arisu (lakonan Kento Yamazaki) mengusaikan semua permainan. Adakah apa yang berlaku selama ini hanya dunia ciptaannya? Atau semuanya benar-benar berlaku? Semuanya akan terjawab pada hujung episod musim kali ini.
Ada yang kata, beberapa episod ‘perjalanan’ ceritanya terlalu perlahan sehingga membantutkan adrenalin penonton untuk menikmati siri fenomena tersebut.
Kalau dah nama permainan ‘celaka’ dalam AiB menuju jalan hujung, memang itu sewajarnya berlaku. Akan sedikit lebih beremosi apabila Arisu terpaksa menelan realiti sebenar apa yang berlaku dalam kehidupannya.
Barangkali, ada yang dahagakan keganasan dalam permainan, kekejaman, pertumpahan darah dan pelarian ke sini sana terus berlanjutan sedangkan realiti menerusi siri, setiap permulaan ada penghujungnya.
Selepas dua tahun, ramai yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap musim kali ini. Buat penulis secara peribadi, visual atau kesan khas musim kedua lebih luar biasa dampaknya.
Akan ada AiB3?
Kesan khas teknik janaan komputer (CGI) yang memaparkan keseluruhan bandar Tokyo mula lumpuh sebab ditinggalkan lama tidak berpenghuni seperti kebiasaan, menunjukkan betapa dunia sinematik Jepun sudah jauh maju ke depan berbanding negara-negara Asia lain.
Menyentuh keberkesanan karakter, watak Arisu dan Usagi adalah antara nadi utama. Begitu juga energi dan komitmen yang dicernakan pelakon lain seperti Chishiya, Kyuma dan Kisaragi.
Kyuma (Tomohisa Yamashita) yang tanpa sehelai benang ketika bermain permainan Osmosis antara perkara yang diingati penonton. Bukan kerana berbogel tetapi dampak yang ditinggalkannya dalam episod tersebut sangat hebat.
Paling utama, selepas Arisu melunaskan semua permainan dan kembali ke dunia realiti, apa berikutnya untuk siri AiB? Apa pula maksud kad ‘joker’ yang dipaparkan pada babak akhir musim kedua?
Sehingga kini, Netflix masih belum memberi kata putus sama ada akan ada AiB musim ketiga. Barangkali akan ada spin-off, namun belum diputuskan lagi.