fbpx

Suami maut kemalangan, tak sempat sambut ‘anniversary’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Badrul Shyam bersama Siti Salwa dan anak mereka Aisy’ Zahirulhaq.

JASIN – Hasrat seorang ejen insurans untuk meraikan ulang tahun perkahwinan keempat bersama isteri tercinta tidak kesampaian selepas maut dalam nahas di persimpangan Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Serkam di sini, semalam.

Badrul Shyam Noor Ibrahim, 31, dan rakannya, Ezham Hazim Ahyat, 33, juga ejen insurans maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka melanggar sebuah lori tangki dalam perjalanan dari Melaka ke Muar, Johor.

Menurut isterinya, Siti Salwa Abdul Wahid, 33, dia dan Badrul Shyam yang menetap di Masai, Pasir Gudang, Johor telah merancang untuk menyambut ulang tahun perkahwinan keempat mereka pada 26 Januari depan di Melaka.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka suaminya, yang baharu lima bulan menjadi ejen insurans terlibat dalam kemalangan selepas berjumpa dengan klien di negeri ini.

“Suami keluar kira-kira pukul 10 malam beritahu dia ingin jumpa klien di Melaka dan ajak rakannya (Ezham) untuk menemaninya supaya dapat bergilir memandu jika penat.

“Dia janji nak balik tetapi sehingga awal pagi dia tak sampai-sampai manakala panggilan tak dijawab, jadi saya terus mengesannya menggunakan aplikasi find my iPhone dan maklumat memberitahu dia berada di tepi jalan di AMJ,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin, hari ini.

Jelasnya, panik dengan keadaan itu dia terus menghubungi telefon bimbit suaminya sehingga ia dijawab oleh seorang lelaki yang merupakan anggota polis sebelum dimaklumkan mengenai nahas berkenaan.

“Polis suruh saya ke hospital, awalnya saya sangka suami koma atau kritikal tetapi tidak sangka dia telah meninggal dunia.

“Patutlah sebelum keluar rumah dia peluk erat saya sambil cakap dia rindu saya, tidak sangka itu adalah pelukan terakhirnya dan rancangan kami untuk meraikan ulang tahun perkahwinan keempat di Melaka tidak kesampaian,” katanya sebak.

Ujarnya, mangsa juga meninggalkan seorang anak, Aisy’ Zahirulhaq berusia empat tahun.

Jenazah Badrul Shyam dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masai, Pasir Gudang, Johor, petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI