PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tekad untuk mengelak daripada tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 di Arena Axiata, Bukit Jalil yang bermula semalam.
Hari ini, pemain No.2 dunia itu dijadualkan bertemu pemain utama Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama, oleh itu dia pasti tidak mahu episod 2019 dan 2022 kembali berulang apabila tersingkir pada pusingan pertama dan kedua.
Zii Jia yang merupakan juara Asia dijangka dapat menampilkan aksi diharapkan memandangkan kali ini dia hadir dengan kecergasan penuh berbanding tahun lalu apabila berdepan masalah kecederaan.
Walaupun Zii Jia dan Naraoka tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini, namun pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu perlu berwaspada memandangkan lawannya menunjukkan peningkatan mendadak sejak tahun lalu.
“Pada Terbuka Malaysia kali ini, memang saya berada dalam keadaan cukup baik. Sudah tentu saya harap semuanya berjalan lancar dan dapat mencatat keputusan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
“Apabila melangkah masuk ke dalam gelanggang, saya pasti akan berikan aksi 100 peratus. Kodai (Naraoka) gemar bermain secara rali dan kebanyakan perlawanannya memakan masa lebih sejam.
“Selain itu, dia juga mempunyai pertahanan yang cukup baik. Disebabkan itu, sudah tentu saya perlu banyak bersabar dan bersedia untuk bermain dalam perlawanan yang panjang pada pusingan pertama nanti,” katanya.
Sekiranya berjaya melepasi pusingan pertama, Zii Jia dijangka bertemu rakan senegara, Ng Tze Yong di pusingan kedua dan perlawanan itu pastinya dinanti-nantikan peminat badminton tanah air.
Untuk rekod, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain terakhir Malaysia yang memenangi Terbuka Malaysia ketika menjulang gelaran ke-12 pada 2018 menewaskan jaguh Jepun, Kento Momota.