BEIJING – Seorang wanita berusia 20 tahun tular di media sosial China selepas mengalami gangguan emosi di majlis perkahwinannya kerana berkahwin hanya untuk memuaskan hati ibu bapanya, lapor akhbar South China Morning Post kelmarin.
Dalam satu hantaran secara online, Yan dari wilayah Guizhou berkata, dia tidak menjangka akan menjalani kehidupan berumah tangga selepas dikahwinkan dengan seorang lelaki yang ditemuinya dalam satu temu janji.
Dalam video perkahwinan yang disertakan bersama hantaran itu, Yan yang memakai gaun putih kelihatan tidak senyum sebelum memalingkan kepalanya dari kamera dan menangis.
Yan tidak mahu berkahwin tetapi merasakan bahawa dia perlu memenuhi jangkaan dan norma budaya ibu bapanya secepat mungkin.
“Ibu bapa saya semakin tua dan begitu juga saya. Saudara-mara saya mendesak dan jiran-jiran bergosip tentang saya,” katanya.
Yan mula mencari pasangan untuk mengakhiri tekanan itu dan selepas bertemu seorang lelaki, dia memutuskan untuk mengahwininya walaupun tidak mencintainya.
“Berkahwin adalah untuk membuatkan ibu bapa saya lega. Saya merasakan tidak mempunyai masa depan untuk diri sendiri,” jelas Yan.
Kisah Yan tular secara online di tanah besar China dan mendapat lebih 11,00 komen di aplikasi Douyin.
“Kahwin paksa itu menyakitkan,” kata seorang netizen.
“Dia kelihatan sangat sedih, tetapi adakah dia akan menyakiti hati suaminya jika dia tidak dapat mencintainya?” komen netizen lain. – Agensi