PETALING JAYA – Pernah tertusuk paku pada bahu di set penggambaran antara pengalaman ‘mahal’ dilalui pelakon dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob sepanjang dua dekad bergelar anak seni.
Fazley yang juga cef selebriti berkata, kecederaan yang tidak disengajakan berlaku ketika menjayakan sesebuah babak adalah sebahagian asam garam apabila memilih lakonan sebagai kerjaya.
“Cedera masa penggambaran? Saya berparut sudah 18 tahun. Itu biasa. Abang Rosyam Nor tolak dan henyak saya ke dinding sampai paku masuk bahu masa ‘shooting’ Janji Diana sekitar 2002.
“Sepanjang malam darah masih menitis sampai basah jaket motor yang saya pakai. Penuh dengan darah,” katanya menerusi perkongsian Instagram.
Begitupun, insiden berkenaan hanya diceritakan Fazley kepada bintang filem yang dihormatinya itu selepas 15 tahun kejadian tersebut berlaku.
Malah dia yang langsung tidak berdendam atau menyalahkan mana-mana pihak atas kemalangan tersebut mengakui mengalami kecederaan lain ketika berada di bawah arahan Datuk Yusof Haslam.
“Saya tetap salam cium tangan Abang Rosyam. Saya hanya cerita pada beliau 15 tahun selepas itu dengan parut tebal masih ada sampai hari ini.
“Masa ‘shooting’ filem yang sama, saya jatuh motor sebab jalan berpasir dan motor pulak himpit kaki. Itu biasa,” katanya lagi.
Tambah Fazley yang turut terbabit dalam filem Gerak Khas The Movie, anak seni wajar bersemangat jitu selain perlu kental berdepan cabaran.
“Asam garam dunia perfileman. Hati kena kuat, jiwa kena kental. Bertahun saya berlakon dengan Skop Productions, tetap saya enjoy dan berterima kasih pada Datuk Yusof Haslam.
“Masih ingat filem dan drama lakonan saya? Gerak Khas The Movie 2, Janji Diana, Gila Bola, Sembilu Kasih dan banyak lagi!
“Terima kasih semua! Relaks sudah, jangan gaduh-gaduh. Kita semua adik beradik dalam satu industri! Tak begitu?” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut diluahkannya merujuk isu pertikaian antara pelakon mengenai babak lasak di set penggambaran yang mencetuskan kecederaan hingga tular dalam media sosial.
Terdahulu, Rosyam selaku aktor senior sebelum ini menyatakan jika sesuatu kejadian mengakibatkan kecederaan parah hingga dirawat di hospital, mungkin boleh diuar-uarkan tetapi dengan matlamat positif. – KOSMO! ONLINE