fbpx

Taufiq Hanafi jadi cikgu, keluar zon karya aksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAUFIQ HANAFI

SELEPAS 16 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, ini merupakan kali kedua pelakon Taufiq Hanafi diberi kepercayaan memegang watak utama.

Kali ini, dia dipilih menjadi hero untuk sebuah filem berjudul The Fireflyz selepas kali pertama menggalas tugas tersebut menerusi naskhah Bidong: The Boat People (2018).

Menurut Taufiq atau nama sebenarnya, Mohamad Taufik Mohd. Hanafi, 31, ketika diberi tawaran membintangi naskhah tersebut, dia sukar mempercayainya, namun memandang peluang yang datang di depan mata sebagai rezeki.

Meskipun begitu, Taufiq sudah bersedia andai pemilihannya sebagai bintang utama filem terbitan Redboy Pictures Sdn. Bhd. tersebut menjadi pertikaian segelintir pihak.

TAHUN rezeki, 2023 menyaksikan dua buah filem lakonan Taufiq Hanafi akan ditayangkan selain dia bakal berkahwin tidak lama lagi.

Bahkan dia yang akan memegang watak Cikgu Adam sama sekali tidak akan mengambil hati kerana sedar selama ini dia lebih popular sebagai watak sampingan dalam filem aksi sahaja.

“Mungkin ada yang mempertikaikan pemilihan saya. Pengikut dalam Instagram pun tidak ramai. Apa pun ini semua soal rezeki, saya akan cuba buat yang terbaik.

“Saat menerima tawaran untuk watak Cikgu Adam, saya teruja sangat. Bukan sebab watak utama, tetapi karakter Cikgu Adam sangat berbeza kerana perlu banyak bermain emosi dan berjiwa seorang pendidik.

“Saya mahu keluar dari zon selesa. Sebelum ini saya lebih dikenali sebagai pelakon aksi. Mungkin karya ini akan membuka peluang yang lebih besar buat saya pada masa depan,” tutur Taufiq.

Jiwa lakonan

Tambah bintang filem Paskal itu lagi, lakonan adalah jiwanya dan dia memilih menjadi pelakon bukan untuk memegang watak hero semata-mata.

“Saya jadi pelakon bukan untuk kejar watak hero. Kalau ada rezeki (menjadi watak utama), saya bersyukur. Saya mahu tingkatkan ilmu lakonan dan pada masa sama ingin buktikan kehadiran dalam dunia seni bukan perkara sia-sia,” katanya yang juga aktif sebagai pengacara.

Selain filem The Fireflyz, tahun ini menyaksikan Taufiq akan muncul dengan sebuah naskhah aksi bersama barisan pelakon terkenal seperti Hairul Azreen dan Shaheizy Sam menerusi iaitu Malbatt: Misi Bakara.

FILEM The Fireflyz memulakan penggambaran pada tahun ini.

“Insya-Allah tahun ini dua buah filem lakonan saya akan keluar dalam tempoh waktu yang lebih kurang sama. Sebuah filem aksi dan satu lagi naskhah yang bermain dengan emosi.

“Dalam hati terasa bimbang juga, tetapi dua karya ini memiliki genre yang berbeza. Penonton juga akan dapat melihat perbezaan bukan sahaja dari segi lakonan, tetapi juga fizikal badan saya yang berubah.

“Fizikal seorang tentera sudah tentu tidak sama dengan seorang jurulatih bola sepak sekolah di kampung. Saya harus turunkan berat badan untuk kelihatan seperti seorang guru,” jelas Taufiq yang turut mengambil kelas lakonan untuk mendalami watak Cikgu Adam.

Pelakon itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem The Fireflyz yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Iskandar Mirza Mohd. Yusof dan dihadiri Pengerusi Eksekutif Redboy Pictures Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. How Kok Choong baru-baru ini.

Filem The Fireflyz yang memulakan penggambaran pada awal tahun ini mengisahkan pelajar disleksia, Fazli yang mahu menyertai pasukan bola sepak sekolahnya dengan bantuan Cikgu Adam dan Cikgu William.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI