PETALING JAYA – Berdepan kemelut rumah tangga yang bagai tiada kesudahan, Syamsul Yusof mengingatkan netizen supaya jangan menjadi batu api dengan memburukkan lagi keadaan.
Kata pengarah kontroversi itu, campur tangan pihak luar yang memberikan pelbagai komen seakan menggalakkan dia dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Kamaruddin berpisah.
“Mohon semua doakan yang terbaik. Tidak rugi mahupun untung jika anda mendoakan kami sekeluarga.
“Mohon juga netizen untuk tidak menjadi batu api seolah-olah mahu kami bercerai,” katanya menerusi video dalam Instagram.
Bapa kepada dua cahaya mata itu dalam perkongsian tersebut juga mengakui kesilapannya yang memberi tempias terhadap insan terdekat iaitu Puteri Sarah dan isteri keduanya, Ira Kazar.
Justeru, Syamsul sedia menjadi tempat netizen meluahkan kemarahan atau perasaan geram yang dicetuskannya itu terhadap dirinya sahaja.
“Saya tidak mahu anda (netizen) marah atau memberi tohmahan dan apa sahaja kepada kedua-dua isteri saya, Sarah dan Ira.
“Jangan kata benda tak elok kepada mereka. Kalau nak kutuk atau hina sekali pun, sayalah orangnya. Kutuk saya sebab saya yang buat keputusan ini,” katanya lagi.
Perkongsian dibuat Syamsul malam tadi adalah bagi membalas persoalan Puteri Sarah yang mendedahkan dia masih menyekat nombor isteri pertamanya itu hingga ke hari ini.
Semalam, aktres itu meminta dirinya dilepaskan berikutan tindakan Syamsul yang didakwa tidak selari dengan kenyataan dibuat pada Jumaat minggu lalu.
Selain mendedahkan sudah menikahi wanita yang sebelum ini dipercayai mempunyai hubungan dengannya sejak empat tahun lalu, Syamsul turut meminta Puteri Sarah pulang.
Pergolakan rumah tangga membabitkan tiga individu dikenali ramai itu terus hangat dan menjadi topik bualan serta paparan media sampai sekarang. – KOSMO! ONLINE