GEORGE TOWN – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di sini menjadi sekolah pertama di negeri ini yang melaksanakan inisiatif kantin tanpa tunai (cashless canteen) dengan kerjasama Heong Leong Bank Berhad bermula hari ini.
Pengurus Wilayah Bahagian Operasi Heong Leong Bank Berhad, Wong Han Pin berkata, inisiatif tersebut merupakan misi Heong Leong Bank Berhad untuk mendidik kanak-kanak bagi mengaplikasi pembayaran tanpa tunai dalam urusan harian mereka.
“Kami memulakan langkah untuk mempromosi konsep ‘cashless canteen’ ini sejak tahun lalu di semua sekolah termasuk sekolah menengah di Pulau Pinang. Kami bermesyuarat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Azad dan mereka bersetuju untuk memulakan inisiatif ini,” katanya selepas menghadiri Program Cashless Digital Canteen di SJKT Azad, di sini hari ini.
Menurutnya, SJKT Azad menjadi sekolah perintis pertama yang memulakan langkah bersama Heong Leong Bank Berhad untuk menggalakkan murid-murid menggunakan kad debit bagi tujuan pembayaran makanan dan minuman di kantin.
“Pihak kami akan membekalkan kad debit kepada murid-murid dan ibu bapa mereka akan mengisi kad debit berkenaan menerusi satu akaun khas,” katanya.
Dalam pada itu, guru besar sekolah berkenaan, A. Seri Jeevagowry berkata, pada masa ini, seramai 65 daripada 82 murid di sekolah berkenaan akan menggunakan kad debit untuk membeli barangan di kantin. -KOSMO! ONLINE