GUA MUSANG – Kerajaan digesa menyelesaikan krisis haiwan liar yang semakin menjadi-jadi di kawasan penempatan Orang Asli terutamanya di beberapa pos penempatan di daerah ini.
Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan Orang Asli di kawasan pedalaman sentiasa terjamin.
Katanya, kejadian serangan binatang buas seperti harimau, gajah, beruang dan babi hutan di perkampungan
Orang Asli sudah banyak berlaku sehingga ada nyawa yang terkorban.
“Kejadian itu boleh berlaku lagi sekiranya kerajaan tidak campur tangan atau mengawal kegiatan pembalakan dan perladangan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.
“Kementerian berkaitan perlu mencari jalan penyelesaian ke arah menangani krisis yang dialami oleh Orang Asli sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Menurut Nasir, selain ancaman beruang yang menggali kubur dan memakan mayat Orang Asli di Kampung Dakoh, Pos Balar, kejadian turut berlaku di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang melibatkan seorang wanita Orang Asli yang mati dipijak gajah bulan lalu.
Jelas beliau, dalam kejadian terbaharu kelmarin, seorang remaja Orang Asli berusia 15 tahun pula meninggal dunia selepas dipijak binatang liar itu di Kampung Tual, Pos Sinderut, Kuala Lipis.
“Komuniti Orang Asli sudah banyak kali menyerahkan memorandum berhubung krisis hidupan liar kepada pihak kerajaan, namun tiada tindakan dan penyelesaian.
“Kami berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu terutama yang melibatkan kepentingan Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, wakil penduduk Orang Asli Pos Balar, Kamal Alek, 38, turut meminta kerajaan menangani isu projek yang tidak terkawal di hutan berhampiran perkampungan Orang Asli.
Kamal memberitahu, aktiviti pembalakan dan perladangan yang tidak terkawal dipercayai menjadi punca kawasan habitat haiwan liar terjejas sehingga masuk ke penempatan Orang Asli dan kawasan bandar.
“Masyarakat Orang Asli percaya segala isu yang berlaku disebabkan kelulusan projek yang tidak terkawal di kawasan hutan untuk tujuan pembalakan, perladangan dan perlombongan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Dakoh, Pos Balar di sini gempar dengan kemunculan seekor beruang yang memusnah dan menggali kubur sebelum memakan mayat Orang Asli sejak dua minggu lalu.