IMPIAN pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying untuk menutup karier dengan kemenangan bersama Chan Peng Soon pada Terbuka Malaysia 2023 tidak tercapai selepas tewas pada pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pada saingan tersebut, Liu Ying kembali bergandingan dengan Peng Soon sebagai hadiah perpisahan memandangkan kali ini merupakan kejohanan terakhirnya bergelar pemain sebelum menggantung raket.
Atlet kelahiran Melaka tersebut dilihat sedikit sebak apabila tewas kepada Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dengan keputusan 21-18, 15-21, 7-21.
Bagaimanapun, penyertaan Liu Ying pada Terbuka Malaysia dianggap satu penghormatan tertinggi buat atlet berusia 34 tahun berkenaan kerana dia sekali lagi dapat bergandingan dengan Peng Soon selepas bekerjasama sejak tahun 2008 lagi.
Tegas Liu Ying, dia mengharapkan sekurang-kurangnya satu kemenangan mampu dicapainya tetapi sedikit kecewa selepas terpaksa akur tewas dengan pasangan dari Indonesia tersebut.
“Sebelum ini, saya fikir kalau boleh ingin mencatat satu kemenangan dan ia adalah satu bonus jika dapat melakukannya bersama Peng Soon.
“Jadi, tidak kisah menang pada set pertama sekali pun, saya hanya mahu beri yang terbaik kepada semua penyokong pada Terbuka Malaysia ini. Banyak kenangan saya bersama Peng Soon tetapi mungkin sudah sampai masa untuk bersara.
“Meskipun tewas, saya anggap ini adalah memori yang saya tidak akan lupakan kerana dapat mengambil bahagian pada Terbuka Malaysia bersama Peng Soon. Saya harap selepas ini penyokong rindu kelibat saya dan Peng Soon.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan kepada saya selama ini meskipun saya mengalami kecederaan.
“Biarpun jatuh ranking 200 dunia, peminat tetap memberi sokongan. Saya harap mereka terus memberi sokongan kepada badminton Malaysia,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Ketika ditanya mengenai perancangan selepas bersara, pemain berusia 34 tahun itu mendedahkan, dia akan mengumumkan sesuatu dalam tempoh terdekat ini.
“Mengenai perancangan akan datang akan ada pengumuman dalam tempoh beberapa hari lagi. Tetapi apa yang boleh saya katakan ialah tidak lari daripada sukan badminton,” tambahnya.
Sementara itu, beregu campuran muda, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kejutan menewaskan pasangan senior profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-15, 21-10 pada aksi pusingan pertama. Mereka akan bertemu Rehal-Lisa untuk perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Saingan beregu wanita menyaksikan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee menewaskan rakan senegara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin 21-13, 21-13 untuk mara ke pusingan kedua dan dijadual bertemu pilihan ketujuh dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu. – KOSMO! ONLINE