KOTA KINABALU – Satu majlis mengangkat sumpah jemaah Kabinet baharu Sabah dijangka diadakan pukul 10 pagi ini.
Tinjauan di pintu utama Istana Seri Kinabalu mendapati kawalan keselamatan oleh pasukan polis sudah mula dibuat seawal pukul 6.30 pagi.
Turut kelihatan beberapa kenderaan mewah dipercayai membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal mengangkat sumpah mula memasuki pekarangan istana.
Istiadat mengangkat sumpah berkenaan dilaksanakan selepas pertemuan beberapa ketua parti politik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Terdahulu, Anwar mencadangkan agar pemimpin tempatan menubuhkan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu baru-baru ini ekoran rombakan dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berikutan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan UMNO Sabah menarik sokongan ke atas Hajiji. – KOSMO! ONLINE