BANDAR RAYA NEW YORK – Lapisan ozon Bumi, yang berfungsi melindungi manusia daripada sinaran ultraungu berbahaya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua dekad berikutan bahan kimia bawaan udara yang memusnahkan lapisan atmosfera kini semakin berkurang, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapisan ozon akan kembali pulih ke paras seperti tahun 1980 menjelang 2040 di seluruh dunia, 2045 di Lautan Artik dan 2066 di Lautan Antartik.
Saintis-saintis daripada Program Alam Sekitar PBB serta Organisasi Meteorologi Dunia menemui penebalan ketara lapisan ozon sekali gus menggambarkan penemuan itu sebagai ‘berita baik untuk planet.’
Lapisan ozon yang menebal bermaksud lebih banyak perlindungan untuk manusia dan hidupan di muka Bumi.
Sebelum ini, amaran mengenai kehilangan lapisan ozon mula dibangkitkan pada 1980-an, yang disusuli dengan pelaksanaan Protokol Montreal 1989.
Di bawah protokol tersebut, negara-negara berikrar untuk menghapuskan bahan kimia yang memusnahkan ozon seperti klorofluorokarbon (CFC) yang digunakan sebagai pelarut dan penyejuk.
Justeru, laporan terbaharu PBB itu menandakan kejayaan Protokol Montreal 1989 dalam membantu memulihkan lapisan ozon.
“Kejayaan kami dalam mengurangkan bahan kimia yang memusnahkan lapisan ozon menunjukkan apa yang boleh dan perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengalihkan dunia daripada menggunakan bahan api fosil, menurunkan gas rumah hijau serta mengehadkan peningkatan suhu,” kata Setiausaha Agung Organisasi Meteorologi Dunia, Petteri Taalas.
Sementara itu, laporan yang sama turut mendapati klorin yang memusnahkan ozon berkurang sebanyak 11.5 peratus di stratosfera ketika waktu kemuncaknya pada 1993 dan 2020.
Dalam masa sama, bromin turut menyusut 14.5 peratus dalam stratosfera ketika waktu kemuncaknya pada 1999 dan 2020. – Agensi