SABAK BERNAM – Seorang murid lelaki berusia enam tahun terpaksa menanggung kesakitan selama 15 minit apabila kepalanya tersepit pada kerusi di sebuah tabika di sekitar Sekinchan di sini, hari ini dalam kejadian pukul 11.37 pagi ketika sesi pembelajaran di premis tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, tujuh anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima pukul 11.42 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kepala kanak-kanak lelaki itu masih tersepit pada kerusi tersebut dan anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi menyelamatkan mangsa dalam tempoh lima minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Norazam, operasi berkenaan berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pukul 11.54 pagi dengan murid itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan semula kepada pengurusan tabika untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE