fbpx

Jemaah Menteri setuju tubuh RCI siasat buku Tommy Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZALINA

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) susulan pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu dicapai setelah laporan tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pagi tadi.

“Setelah meneliti syor-syor yang dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporannya, Jemaah Menteri telah bersetuju antara lain, mengenai cadangan penubuhan RCI bagi meneliti perkara ini secara holistik.

“Penubuhan RCI ini adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, kerajaan memandang serius terhadap dakwaan yang melibatkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asasa kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan.

“Oleh itu, cadangan Terma Tauliah (Terms of Commission) RCI ini akan mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh PPK.

“RCI ini bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tertentu,” tegas beliau.

Tambah Azalina, Terma Tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh RCI tersebut akan dicadangkan kemudian oleh kerajaan.

Terdahulu, PPK berkenaan telah menyiasat buku berkenaan yang merupakan tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan mengenal pasti 19 isu penting di dalam naskah tersebut yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Terdapat beberapa dakwaan dalam buku tersebut antaranya isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya.

Pada masa sama, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI