KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Perhimpunan Agung (PAU) Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2022 malam ini.
Kedua-dua pemimpin UMNO itu dilihat memasuki ruang Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini kira-kira pukul 8.50 malam tadi dengan lengkap berbaju Melayu.
Kelibat Ismail Sabri sebentar tadi juga sekali menamatkan desas-desus ketidakhadirannya pada petang tadi apabila beliau tidak kelihatan ketika Taklimat Presiden PAU 2022.
Berhubung atur cara PAU pada sebelah malam, ia dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Maju Wanita UMNO, ikrar Pemuda, dan lagu Puteri serta disusuli bacaan doa.
Pada masa sama, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turut memberikan ucapan perasmian sekali gus merasmikan persidangan sayap parti itu yang berlangsung sehingga esok. – KOSMO! ONLINE