fbpx

K2

Ibu tunggal terbeban dengan peningkatan kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dianggarkan 16 peratus golongan ibu tunggal di negara ini menerima gaji kurang daripada RM969 sebulan. – Gambar hiasan

DEWASA ini, kos sara hidup sering diperkatakan.

Semenjak penularan pandemik Covid-19 bermula pada awal tahun 2020, kos sara hidup semakin meningkat.

Apabila ia meningkat, kebiasaannya bukan mudah untuk turun semula.

Ini menunjukkan terdapat keperluan kepada kawalan kos sara hidup.

Antara ramai-ramai orang, ibu tunggal merupakan golongan paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ini terutamanya yang tinggal di ibu kota.

Kos sara hidup adalah perbelanjaan bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan tempat tinggal serta keperluan lain seperti akses internet.

Baru-baru ini, harga makanan asas seperti ayam, minyak masak dan telur telah meningkat.

Terdapat kesan sampingan daripada peningkatan harga makanan asas ini apabila kos barangan lain turut meningkat seperti harga petrol.

Ini menambah bebanan rakyat terutamanya ibu tunggal yang menyara anak bersendirian tanpa bantuan suami di sisi. Kos sara hidup merupakan antara elemen dalam penentuan gaji pekerja.

Sekiranya kos sara hidup semakin meningkat, namun tahap gaji tidak meningkat, ini akan menyebabkan rakyat menghadapi kekangan dari segi perbelanjaan serta penyimpanan pendapatan pada masa depan.

Ramai orang keliru dengan maksud ibu tunggal. Ada yang mengatakan ibu tunggal sebagai janda atau balu.

Malah, ada yang mengatakan ibu tunggal sebagai wanita yang berumah tangga dan mempunyai anak, tetapi tidak mendapat bantuan kewangan daripada suami untuk menyara anak.

Ada juga yang mengatakan wanita yang tidak berumah tangga tetapi memiliki anak juga termasuk dalam kategori ibu tunggal.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2015 telah mendefinisikan wanita tunggal kepada tiga.

Pertama adalah wanita yang menjadi ketua isi rumah dalam perkahwinan dan kedua merupakan balu atau bercerai.

Kategori ketiga adalah wanita mempunyai anak belum berkahwin; wanita memiliki suami tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk bekerja.

Kategori ketiga turut merangkumi golongan wanita yang tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak.

Ibu tunggal merupakan golongan paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. – Gambar hiasan

Daripada definisi itu, KPWKM telah mendapati seramai 235,240 ibu tunggal di Malaysia.

Namun begitu, berdasarkan laporan, seramai 83,773 ibu tunggal telah berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita secara keseluruhan pada 2016, ia meningkat kepada 161,277 pada 2021.

Ibu tunggal dilaporkan mengalami kekurangan ilmu pengetahuan, kemahiran, rangkaian sosial, sumber kewangan dan konflik dalam tanggungjawab antara kerja serta keluarga.

Mereka juga tidak mempunyai akses internet untuk memohon bantuan kewangan secara maya.

Walaupun majoriti mereka bekerja iaitu sebanyak 84 peratus, tetapi 16 peratus menerima gaji kurang daripada RM969 sebulan.

Antara pekerjaan yang dilakukan oleh golongan ini adalah seperti pembuatan roti, katering, menjahit, mencuci pakaian dan perkhidmatan pengangkutan untuk kanak-kanak.

Ini menunjukkan bahawa segelintir ibu tunggal mempunyai kemahiran rendah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, mana-mana rakyat yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,500 dikategorikan sebagai B40.

Justeru, kita sebagai umat Islam wajib membantu penduduk miskin terutamanya yang dikategorikan sebagai miskin tegar agar mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan.

Saranan untuk membantu mereka terutamanya ibu tunggal boleh dilihat dalam hadis Riwayat Bukhari, 5353 yang bermaksud: “Seseorang yang membantu balu atau orang miskin adalah seperti mujahid yang berperang kerana Allah SWT atau seperti seseorang yang melakukan ibadah sembahyang sepanjang malam dan berpuasa sepanjang hari.”

Kehidupan ibu tunggal boleh dibantu dengan keusahawanan Islam.

Contohnya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM pada Oktober lepas telah melancarkan program keusahawanan bagi membantu asnaf termasuk ibu tunggal.

Menerusi program itu, ibu tunggal dilatih mengenai cara menjalani perniagaan bagi menyara kehidupan mereka.

Begitu juga dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang turut prihatin dengan golongan tidak bernasib baik itu.

Keusahawanan merupakan sembilan daripada sepuluh cara bagi memperolehi rezeki yang halal.

Walaupun hadis itu daif, namun ia menunjukkan bahawa menerusi keusahawanan, seseorang itu akan memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.

Bagaimanapun, ia perlulah dilakukan berlandaskan syariat Islam bagi memperolehi keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mula menggerakkan inisiatif menangani isu kos sara hidup dengan pelancaran Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Ini adalah usaha komprehensif kerajaan baharu bagi meringankan beban rakyat. Terkini, kerajaan telah pengumuman untuk tidak menaikkan tarif bil elektrik. Tanpa suami di sisi, ibu tunggal paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Justeru, perlu diadakan satu program keusahawanan yang direka khusus bagi meringankan bebanan ibu tunggal.

Menerusi program itu, golongan tersebut dapat keluar daripada kepompong kemiskinan tegar. Ini seterusnya dapat menyumbang kepada masyarakat dari segi penjanaan pekerjaan serta pendapatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI