KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha menepis dakwaan netizen bahawa dia ditaja lelaki kaya atau lebih dikenali sebagai ‘sugar daddy’ disebabkan kehidupannya yang serba mewah.
Menurut pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, tuduhan berat tersebut membuatkan dia rasa terkilan setelah kerja keras sehingga mampu mempunyai dua buah rumah ketika usia muda dipertikai.
“Ada juga sesetengah orang tidak nampak kesusahan sehingga melabel saya ada ‘sugar daddy’.
“Saya agak terkilan kerana sudah penat bekerja tetapi ada pula pihak yang membuat tuduhan berat.
“Perkara tersebut secara tidak langsung melukakan hati saya kerana bagi mereka perempuan berjaya semestinya ada sesuatu benda lain dan bukan dari usaha sendiri,” katanya.
Sementara itu, Daiyan, 28, sebaliknya mempersoalkan kejayaan seorang lelaki yang tidak pernah dikaitkan dengan tajaan wanita kaya atau ‘sugar mummy’.
“Kenapa lelaki berjaya tidak pernah dilabel ada ‘sugar mummy’? Bagi saya, tuduhan sebegini tidak adil bagi kaum perempuan,” tuturnya.
Luah penyanyi itu lagi, hasil kerja kerasnya selama ini selain doa ibu bapa tercinta tidak akan dipamerkan memandangkan dia menyukai kerjayanya.
“Saya memang tidak tunjuk kesusahan tersebut kerana saya ikhlas bekerja. Doa ibu bapa juga yang mendatangkan hasil sehingga mampu mencapai beberapa impian.
“Peminat pula tidak pernah mempersoalkan perkara sebegitu kerana mengetahui kepayahan saya,” ujar pelantun lagu Penat itu.
Biarpun begitu, Daiyan tidak menghiraukan tuduhan netizen kerana lebih fokus menggembirakan keluarga selain mahu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus berusaha mencapai impian.
“Saya okey sahaja kerana apa yang penting adalah untuk meneruskan kerja dan buat ibu bapa saya gembira.
“Alhamdulillah orang menjadikan saya sebagai inspirasi dan saya doakan kalian juga dapat mencapai apa yang saya ada,” katanya ketika ditemui pada sidang media Projek: High Council di sini, semalam.
Terdahulu, Daiyan berjaya memiliki sebuah kediaman mewah landed (bertanah) ketika berusia 27 tahun pada tahun lalu.
Sebelum ini, dia terlebih dahulu membeli rumah pertamanya iaitu jenis kondominium yang terletak di ibu kota pada 2019 hasil mengumpul wang selama dua tahun. – KOSMO! ONLINE