PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila seorang bapa terpaksa berkhemah di tempat letak kereta di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak kerana tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan perjalanan dan tempat tinggal.
Gambar kenderaannya beserta khemah tersebut telah tular di Facebook dan lelaki berkenaan tampil membuat penjelasan menggunakan akaun Ryu Watanabe Miyuka.
Jelasnya, anaknya yang berusia tujuh tahun kini didiagnosis dengan ketumbuhan di kepala dan sekarang berada di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak di hospital berkenaan.
“Saya tuan gambar yang tular itu, saya bukan sengaja nak tular. Saya duduk di Sungkai, jadi nak berulang-alik sudah makan kos. Nak sewa bilik pula harga RM80 ke RM90 semalam.
“Saya tidak ada pilihan lain selain tidur dalam kereta untuk dapatkan apa-apa keputusan doktor dengan cepat. Selain itu, saya juga nak jimatkan kos perbelanjaan saya dan ingin selalu dekat dengan isteri serta anak,” katanya di ruangan komen.
Dalam masa yang sama dia juga memohon doa dari orang ramai untuk kesembuhan anak bongsunya dan semoga segala urusan rawatan dipermudahkan.
Di ruangan komen ramai yang mendoakan keluarga berkenaan selain ada juga yang berkongsi pengalaman yang sama dimana terpaksa bermalam di dalam kereta kerana ahli keluarga dimasukkan ke hospital.
“Suami saya pun pernah seminggu cuti temankan saya jaga anak di wad kerana pendarah di otak ketika itu. Duduk berkampung dalam kereta,” komen Firdauz.
“Kesian tengok abang ini. Itu sahaja cara dia untuk dekat bersama keluarga, lebih-lebih lagi demi anak yang mendapat rawatan. Kasihnya ayah, terbina dengan pegorbanan,” komen Johari pula.
“Semoga dipermudahkan segala urusan tuan sekeluarga, moga anaknya cepat sembuh seperti sediakala,” doa seorang netizen. – KOSMO! ONLINE