fbpx

Bale buat kejutan umum bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BALE membuat keputusan untuk mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak pada usia 33 tahun. – AFP

LONDON – Kapten Wales, Gareth Bale mencipta kejutan besar selepas mengumumkan persaraan daripada bola sepak di peringkat kelab dan antarabangsa pada usia 33 tahun.

Kejayaan membawa Wales ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 menjadi pelengkap kepada cerita penuh warna-warni kariernya yang turut memenangi pelbagai kejohanan utama di pe­ringkat kelab.

“Selepas membuat pertimbangan secara teliti, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada bola sepak di peringkat kelab dan antarabangsa. Saya rasa bertuah kerana mampu merealisasikan impian saya untuk bermain sukan yang saya minati.

“Bola sepak memberikan beberapa detik terbaik dalam hidup saya,” kata penyerang The Los Angeles FC itu menerusi pe­ngumuman di media sosial.

Sepanjang perjalanan kariernya, Bale mula mencipta nama ketika menyarung jersi Tottenham Hotspur sebelum berhijrah ke Real Madrid pada 2013 dan berjaya memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara sebelum berpindah ke Los Angeles pada Jun tahun lalu.

“Sejak sentuhan sulung semasa bersama Southampton hinggalah yang terakhir dengan LAFC, segalanya menjadi perkara yang saya banggakan. Saya terhutang budi dengan ramai orang kerana bantu ubah hidup serta kerjaya saya dengan cara yang tidak pernah saya impikan,” jelasnya.

Pengurus Besar Los Angeles FC, John Thorrington menyifatkan kelab itu cukup bertuah ke­rana dapat bekerjasama dengan pemain seperti Bale yang telah memberikan sumbangan me­ngangkat reputasi kelab ber­kenaan.

“Dia hadir ke kelab ini dengan matlamat memenangi kejuaraan di Los Angeles, perkara sama yang dia lakukan ketika bersama kelab lamanya. Menjadi satu penghormatan untuk memiliki pemain paling berbakat, dinamik sepertinya,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI