PETALING JAYA – Gambar menyayat hati beberapa ekor anjing yang didakwa dikurung oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat mencuri perhatian warganet sejak malam tadi.
Perkara itu dikongsi menerusi akaun Instagram Persatuan Kebajikan Haiwan (MAWA Malaysia) yang memaparkan beberapa gambar menunjukkan anjing-anjing tersebut dalam keadaan kurus, dipercayai tidak diberi makanan oleh pihak berkuasa.
“Gambar ini diambil daripada tempat pengumpulan anjing terbiar di Kuala Langat. Tengok keadaan anjing-anjing ini, semuanya ditinggalkan dalam keadaan kurus sehingga nampak tulang.
“Apa yang Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) buat? Bukankah mereka sepatutnya memantau kebajikan haiwan terbiar yang telah ditangkap?,” tulis MAWA di dalam kapsyen hantaran tersebut.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menawarkan diri untuk menyumbangkan makanan kepada anjing-anjing tersebut disamping menyelar pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini.
“Mohon pihak bertanggungjawab buat sesuatu. Kasihan anjing itu sudahlah dikurung, kemudian tidak diberi makan pula. Zalim sangat terhadap haiwan,” komen schazwaaniey.
“Saya tak makan separuh hari pun dah seksa sakit perut. Bayangkan anjing-anjing ini berapa lama tak makan sampai tinggal tulang macam ini,” komen netizen yang lain pula.
Sehingga kini gambar-gambar anjing tersebut telah tular meluas di media sosial apabila beberapa pempengaruh seperti Tatty Hassan turut menciap tentang isu berkenaan.
Ciapannya itu telah mendapat 4,002 perkongsian dan 3,064 tanda suka. – KOSMO! ONLINE