KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan segelintir anggota yang ingkar arahan dan menzalimi pasukannya dengan terpalit isu rasuah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam lebih 100,000 warga PDRM, masih ada segelintir yang sukar mengubah sikap meskipun sedar bahawa seragam biru keramat yang disarung menuntut menjadi lebih baik.
Katanya, sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang masih tersasar dan tidak kembali ke jalan yang benar, penyelia perlu memainkan peranan mendokumentasikan salah laku secara sistematik mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan.
“Ini bukan bertujuan untuk menzalimi, tetapi mereka sendiri yang menzalimi pasukan. Kita tidak mahu majoriti terpalit dengan sikap hanya segolongan yang tidak menyayangi pasukan.
“Kepada majoriti yang jujur, ikhlas dan komited, syabas saya ucapkan walaupun tuan-tuan dan puan-puan tidak menerima sebarang pujian.
“Yakinlah bahawa setiap kejujuran dan keikhlasan pastinya akan diberi balasan yang sebaik-baiknya kerana itu adalah janji Allah SWT,” kata beliau dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Januari 2023 di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, hari ini.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan Tolak Rasuah kepada warga PDRM sebagai menghargai tindakan mereka dalam melaporkan pemberian serta penerimaan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kes berkenaan disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah.
Seramai 27 penerima sijil terdiri daripada tujuh pegawai kanan dan 20 pegawai rendah manakala dua daripada penerima yang meninggal dunia, sijil itu akan diterima oleh waris masing-masing.
Menurut Acryl Sani, PDRM amat berbangga kerana mereka memartabatkan imej PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ketika menjalankan tugas.
“Tindakan menolak pemberian sogokan dan melaporkan aktiviti terkutuk itu adalah satu ‘keberanian’ yang ada kalanya sukar dilakukan oleh segelintir pihak, sekali gus membuktikan betapa tingginya maruah diri tuan-tuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.