MELAKA – Sebanyak 37 lokasi berhampiran kawasan perindustrian di negeri ini dikesan menjadi sasaran tempat pembuangan sampah haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pengarah SWCorp Melaka, Khairul Adha Mutalib berkata, tindakan melupuskan sampah dengan cara sedemikian bertujuan untuk menjimatkan kos berbanding menghantar bahan buangan ke tapak pelupusan sampah yang di khaskan di Sungai Udang, dekat sini.
Katanya, sampah yang dibuang ke lokasi-lokasi haram itu kebiasaannya melebihi satu tan.
Tambahnya, di sekitar Melaka Tengah terdapat 18 lokasi aktif di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diikuti lapan lokasi di kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Jelasnya, antara kawasan perindustrian terlibat adalah di Bukit Rambai, Krubong, Tanjung Minyak Perdana dan tanah kosong industri Hicom serta lokasi lain seperti fi Jalan Ayer Salak, Kampung Paya Mengkuang dan Jalan Taman Teknologi Cheng (TTC) 16.
“Dua kes telah didakwa di mahkamah dan yang terkini kita sedang melengkapkan kertas siasatan empat kes pembuangan sampah haram pada tahun lepas, kita jangkakan akan membawa lebih banyak kes ke mahkamah pada tahun ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE